Pembunuh Upahan Warga Asing Dalang Pembunuhan Anggota Polis

38
0

POLIS mengesahkan kes tembak mati Sub Inspektor Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, dekat Changlun, Kedah, kelmarin, dilakukan penembak upahan dari negara luar.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan maklumat terkini yang diterima oleh pihak polis, kes itu didalangi kumpulan kongsi gelap yang dilakukan berikutan tindakan polis membanteras jenayah dan gerakan memburu kumpulan itu.

“Walaupun mungkin ada penembak upahan dari luar negara Malaysia tetapi dengan kerjasama MLA (Bantuan Perundangan Bersama) dan kerjasama perkongsian maklum balas perisikan, kita akan mencari hingga kita memperolehi, menangkap dan membawa ke muka pengadilan pihak yang terbabit membunuh polis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Teluk Intan di Dewan Bandaran Teluk Intan di Teluk Intan, hari ini.

Ahmad Zahid turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, dan akan memastikan bantuan sewajarnya diberikan kepada keluarga berkenaan.

Beliau berkata, Allahyarham menunjukkan komitmen tinggi degan tugasnya walaupun sedang bercuti ketika kejadian.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus komited menurunkan indeks jenayah walaupun risiko yang terpaksa dihadapi pasukan dan setiap anggotanya.

Apa Komen Anda?