Penyiasat Kes Seludup Senjata Api Maut Terkena Tembakan di Kedah

78
0

ALOR SETAR: Kegigihan seorang pegawai polis dari Bukit Aman, mengumpul maklumat penyeludupan dan gangsterisme rentas sempadan khususnya Bukit Kayu Hitam, berakhir apabila dibunuh penyerang bersenjata api.

Dalam kejadian jam 10.25 malam tadi, detektif yang bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, ditembak dari arah belakang oleh penyerang yang memanjat tembok kediaman seorang lelaki yang dikunjunginya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata serangan terbabit menyebabkan mangsa yang ketika itu sedang berbual dengan lelaki berusia 35 tahun terbabit, terbunuh di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal di lokasi, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah menemui lima kelongsong peluru dan tiga anak peluru di tempat kejadian.

“Bedah siasat mendapati mangsa maut akibat terkena empat tembakan iaitu tiga das menembusi badannya, manakala satu lagi tertinggal di bahagian dada yang menyebabkan kerosakan pada saluran darah utama,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Asri berkata, susulan pembunuhan pegawai polis berkenaan, lelaki ditemuinya ketika serangan itu, yang pernah ditahan dalam kegiatan jenayah penyeludupan di sempadan, ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.

“Kita juga sedang mengesan dua lagi lelaki iaitu Mohd Hatta Johari, 30 dan Mohd Najib Budin, 36, yang dipercayai terbabit dalam penyeludupan, untuk membantu siasatan kes ini.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kes terbabit didalangi dan dilakukan sindiket penyeludupan senjata api, dadah dan rokok yang beroperasi sekitar Kedah dan Perlis.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), ketika berkongsi kesedihan ekoran kematian anggotanya, mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Abu Hashim.

“Saya dan seluruh Warga @PDRMsia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abu Hashim Ismail yang ditembak mati oleh penjenayah malam tadi, ” katanya menerusi Twitter rasminya.

Apa Komen Anda?